Wednesday, April 14, 2010

HANYA LELAKI...


Hanya Lelaki - Pengakuan Duda

Isteri Kurang Waras, Anak & Suami Diancam 


"Azmin (bukan nama sebenar) hampir putus asa untuk menyelamatkan rumah tangga yang baru dibina tidak sampai tiga tahun. Mereka dikurniakan  sepasang cahaya mata perempuan yang comel..."


Azmin dan isteri, Munira (bukan nama sebenar) cukup menyayangi anak kecilnya itu. Namun, apakan daya perasaan sayang antara keduanya semakin pudar. Kegersangan kasih sayang itu bukanlah disebabkan mereka ada orang ketiga. Tetapi kedua-duanya seolah-olah tidak boleh berjumpa ada sahaja perkara yang akan menyakitkan hati dan langsung menjadipergaduhan yang besar. Puas Azmin meminta ibunya dan ibu mentua mencari ubat bagi merawat rumah tangganya yang ‘panas’ itu. Mereka meredah kawasan pedalaman malah ke kawasan perumahan semata-mata mahu mencari bomoh yang benar-benar hebat untuk merawat masalah tersebut. Sayangnya duit terbang melayang, tapi hubungannya dengan isteri tidak juga menjadi mesra. Azmin semakin kecewa untuk merawat rumah tangganya yang goyah.

Masalah mereka mula melanda sebaik sahaja anak pertamanya dilahirkan. Kedinginan Munira semakin dirasai oleh Azmin bila isterinya tidak lagi ghairah untuk bercerita tentang itu dan ini seperti selalu. Apabila dia pulang ke kampung mentua, Munira tidak lagi serajin dahulu ingin membantu ahli keluarganya yang lain. Sikap dingin Munira bukan hanya dirasai oleh Azmin seorang. Ibunya juga hairan mengapa tiba-tiba Munira jadi begitu. Isterinya itu seakan-akan melupakan kasih sayang yang patut dicurahkan kepada anak kecilnya. Munira membawa haluan hidupnya sendiri. Dia keluar rumah dengan sesuka hati malah tidak lagi menghiraukan keadaan yang berlaku di sekitar rumahnya. Selepas beberapa bulan, ketegangan Munira semakin memuncak. Dia tidak lagi seperti dulu.
Pernah Azmin bertanya tentang masalah isterinya. Tapi jawapannya tepat sama iaitu dia tidak ada apa-apa masalah dan sentiasa menyayangi suaminya. Azmin tertanya-tanya, jika Munira sayangkan dirinya mengapa pula sikapnya sedingin itu. Hubungan di ranjang juga tidak lagi dirasai kehangatannya. Azmin semakin buntu. Apa yang merunsingkan hatinya, apabila dirujuk kepada ustaz yang merawat, mereka memaklumkan isterinya tidak terjebak dengan hubungan terlarang ataupun orang ketiga. Cuma dikatakan mempunyai perkaitan dengan saka yang membuatkan dia seperti hilang arah.



Hilang sabar
Kata ustaz lagi, saka tersebut seakan menghalangnya daripada rapat dengan sesiapa sahaja. Mendengar kata-kata ustaz itu, Azmin terfikir mungkin sebab itu jugala kebencian isterinya terhadap Azmin semakin menjadi-jadi. Pernah sekali Munira tanpa sedar telah merosakkan kenderaan Azmin. Tindakan di luar kawal itu telah diperhatikan oleh Azmin dari balik tingkap rumahnya. Azmin benar-benar terluka. Tatkala membasuh pakaian juga Munira tidak lagi menjalankan tanggungjawabnya dengan sebaik-baiknya. Dia hanya membasuh baju sendiri dan membiarkan sahaja baju anak dan suaminya berlonggok selama bermingguminggu tanpa diusik sedikit pun.


Akhirnya Azmin juga yang terpaksa mengalah dan membersihkan pakaiannya sendiri. Sampai satu tahap, Azmin hilang sabar dengan tindakan isterinya itu. Sungguhpun dia sedar isterinya itu bukanlah dirinya yang sebenar. Tapi dia tidak sanggup lagi membiarkan dirinya tinggal bersama orang yang semakin tidak dikenali. Azmin benar-benar hilang perasaan sayang terhadap Munira. Biarlah ramai ustaz memujuknya agar memperbanyakkan sabar dan berzikir bagi mewaraskan isterinya itu, dia sudah tidak peduli lagi.

Dia mengikut kata hatinya untuk melepaskan Munira. Namun selepas perkara itu diluahkan ia seperti memakan dirinya sendiri. Si kecil yang tidak mengerti apa-apa itu pernah beberapa kali dicekik oleh Munira. Kemudian dia hanya terperosok di sudut rumah sambil menangis tersedu-sedan. Selepas beberapa jam, Munira berlalu pergi bagaikan tiada apa-apa yang berlaku. Hati Azmin semakin parah. Tidak mahu dia mempertaruhkan nyawanya dan anaknya semata-mata kerana kasihankan Munira. Azmin terpaksa mengambil keputusan nekad. Dia khabarkan hasratnya kepada kedua-dua belah keluarganya dan juga keluarga sebelah isterinya. Azmin menceritakan situasi yang dihadapi setiap hari.

Bagaimana dirinya dan anaknya perlu berhadapan dengan ancaman Munira. Mungkin Munira kelihatan normal ketika bersama keluarganya, namun tatkala di rumah isterinya bagaikan seekor harimau kumbang yang senyap tetapi ketika mangsanya leka terus dikerjakan sehingga tidak berdaya. Dengan berat hati, mereka terpaksa merelakan perpisahan terjadi antara Azmin dan Munira. Namun mereka sentiasa bersetuju sekiranya Azmin kembali kepada Munira sebaik sahaja bekas isterinya itu berjaya dirawat dengan sepenuhnya. Sampai hari ini, Azmin tidak pernah membenci Munira, malah kasihan benar dirinya dengan nasib bekas isterinya itu. Maka itulah, Azmin masih menyimpan hasrat untuk merujuk kembali sekiranya Munira kembali waras.

Selanjutnya di dalam majalah MINGGUAN WANITA minggu ini!


1 comment:

::FAIZ:: said...

hm, btl la ustazah....

Syahirah Korean Secret Skincare, Facial Cleansing Foam Cosmoderm & Supplement Shaklee

Hi guys, Assalamulaikum.. Lama tak update blog. Singgah lalu je. Sejak wujud macam-macam media sosial sekarang ni macam instagram se...